Saturday, July 30, 2011

PUASA MENYIHATKAN BADAN


BERPUASA Ramadan bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum pada waktu siang, malah lebih daripada itu mengajar umat Islam supaya mengawal nafsu daripada perkara dilarang syariat dan boleh memudaratkan.
Bagi tujuan itu, Islam menetapkan adab ketika berpuasa supaya ibadat mereka itu mendapat keberkatan dan mencapai tujuannya. Adab itu juga seiring dari segi perubatan dan kesihatan.
Dari segi perubatan atau kesihatan cara puasa yang tidak berkesan seperti:
·  Makan terlalu banyak sewaktu sahur dan berbuka.
·  Makan terlalu banyak daging, terutama bagi penghidap batu karang, gout dan alahan.
·  Mengulangi makanan sepanjang malam.
·  Kurang minum air pada malam hari atau lebih minum air semasa makan.
·  Tidur selepas kenyang makan.
Amalan yang seperti di atas boleh mengikis manfaat dan tujuan berpuasa. Mereka juga akan berasa letih dan mungkin mengalami pelbagai masalah kesihatan daripada amalan itu.
Puasa berjaya adalah yang diamalkan mengikut sunnah Rasulullah. Puasa berjaya akan membuahkan keadaan rohani dan jasmani yang dinamik, bersih dan diperbaharui!
Apa yang di perlukan ialah kawalan yang baik sewaktu berbuka dan bersahur.
Ketika berbuka, sebaiknya makanlah makanan yang senang hadam, mengandungi serat dan dalam kadar sedikit. Amalan Rasulullah memakan tamar adalah baik sebab ia mengandungi karbohidrat tinggi, di samping asid amino, antaranya triptofan yang didapati boleh menenangkan perasaan.
Untuk mengawal apa yang dimakan, perlulah bersederhana dalam menghidang juadah berbuka atau bersahur. Jika banyak yang dihidang dengan aneka jenis dan rasa, tentulah sukar untuk mengawal apa yang ada di depan mata. Ambil peluang bulan puasa ini untuk berjimat belanja, hadkan jenis dan makanan.
Begitu juga dengan air minuman. Sediakan air minum daripada bahan semula jadi. Elakkan gula putih, sirap, pewarna dan perasa tiruan dan gantikan ia dengan gula merah, madu lebah dan jus buah asli.
Sediakan air yang yang ditambah dengan kembang semangkuk dan biji selasih serta getah anggur. Ini kerana makanan ini mencuci usus dan menyenangkan buang air besar.
Elakkan juga kopi dan teh kerana minuman ini mempunyai kafein yang boleh memberi terlalu banyak rangsangan kepada saraf dan jantung ketika berpuasa. Kafein juga memberi rangsangan kepada bahagian perut yang menyebabkan asid hidroklorik berlebihan dan ini akan menyebabkan keadaan gastritis.
Protein binatang adalah makanan yang paling kompleks dan susah hadam. Ia juga makanan yang mempunyai kandungan bahan buangan yang paling banyak. Keadaan ternakan dan cara yang diamalkan sekarang menyebabkan protein binatang menjadi bahan yang paling tercemar dengan kimia dan pelbagai jenis racun, termasuk kuman, hormon, antibiotik dan logam berat serta racun serangga.
Oleh kerana antara manfaat puasa ialah bahawa badan dapat mengeluarkan bahan racun yang kian lama terselit dalam lemak, daging, hati dan buah pinggang, wajar kita meminimumkan memakan protein haiwan ketika berpuasa.
Protein haiwan boleh digantikan dengan protein sayur dalam bentuk kekacang seperti kacang dal, soya, hijau dan merah, walaupun protein dalamnya tidak lengkap. Dengan mempelbagaikan sayuran dan mencampurkan jenis yang dimakan, ia akan melengkapkan antara satu sama lain.
Puasa yang berjaya dari segi kesihatan melalui tiga fasa iaitu:-
· Fasa pertama (dua hingga tiga hari)
– Perut lapar, badan letih dan cepat marah (kadar glukos dalam darah rendah).
Pada fasa pertama inilah orang berpuasa terasa amat terduga dan paling susah hendak dilalui. Ini kerana pada masa ini, badan belum terbiasa dengan keadaan perut kosong dan rutin baru yang diamalkannya.
· Fasa asidosis. (tiga hingga 14 hari)
– Kurang selera makan, nafas berbau, lidah menjadi ‘putih’ atau ‘berdaki’, badan lesu.
Fasa ini tidak berapa terkesan sebab cara puasa yang diamalkan ialah puasa separuh masa dan makan minum separuh masa. Jika kita terlalu sedikit makan, fasa ini akan dikesan dengan nyata.
· Fasa ketiga (14 hari hingga akhir puasa )
– Lidah jadi bersih, nafas hilang berbau, selera makan baik, tenaga mula pulih dan kadar glukos kembali normal.
Pada fasa ini, mental, emosi dan badan semakin ‘optimum’ dan anda menjadi seperti orang baru.
Keadaan puasa begini hanya dicapai oleh mereka yang benar-benar mengawal makan dan minum supaya proses ‘asidosis dan ketosis’ dalam badan berjalan lancar.
Wali Allah mencapai peringkat spiritual yang tinggi kerana ketajaman ‘mata hati’ mereka kerana puasa yang mencapai matlamatnya.



Tuesday, July 26, 2011

IBADAT PUASA


Pengertian Puasa
Puasa ialah menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang          membatalkanpuasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari. 
Hukum puasa bulan Ramadhan adalah wajib.
Golongan Wajib Puasa
Jamhur Ulama’ berpendapat bahawa golongan yang wajib berpuasa ialah :
1. Orang Islam ; tidak sah puasa orang kafir @ murtad 
2. Berakal ; tidak wajib ke atas orang gila @ tidak suiman 
3. Baligh ; tidak wajib ke atas kanak-kanak, tetapi puasanya sah. 
4. Menetap di sesuatu tempat iaitu tidak musafir 
5. Mampu berpuasa ; bukannya orang yang sakit ataupun terlalu tua
Rukun Puasa
1. Niat berpuasa.
Orang yang ingin berpuasa wajib seperti Puasa bulan Ramadhan (termasuk qadhanya), Puasa Nazar dan Puasa Kifarah hendaklah berniat di malam hari sebelum terbit fajar. Manakala mana-mana puasa sunnat bolehlah berniat sebelum gelincir matahari (waktu Zohor) dengan syarat belum lagi melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa.
2. Menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara ayang boleh membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam fajar.
Di samping itu, orang yang berpuasa dikehendaki menjaga adab-adab puasa seperti meninggalkan segala perkara keji yang boleh mengurangkan pahala puasa tetapi tidak sampai membatalkannya misalnya mengumpat, menyebut perkataan keji dsb.
Perkara Yang Membatalkan Puasa
1. Makan dan minum dengan sengaja 
2. Mengeluarkan mani dengan sengaja 
3. Keluar haid, nifas atau wiladah 
4. Melakukan persetubuhan walaupun tidak keluar mani . Wajib qada’ dan membayar kafarah iaitu     memerdeka sorang hamba, jika tiadak dapat hendaklahberpuasa 3 bulan berturut-turut dan jika     tidak mampu hendaklah memberi sedeqah makanan asasi kepada 60 orang miskin. 
5. Muntah dengan sengaja 
6. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga yang terbuka dengan sengaja 
7. Gila walaupun sebentar 
8. Pitam atau pengsan sepanjang hari 
9. Murtad
Hari Yang diharamkan Berpuasa
1. Hari Raya Puasa (1 Syawal) 
2. Hari Raya Haji (10 Zulhijjah) 
3. Hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah) 
4. Hari Syak (30 Syaaban)
Hari Yang Disunatkan Puasa
1. Berpuasa 6 hari di bulan Syawal 
2. 10 Muharram ( Hari Asyura) 
3. sepanjang bulan Rejab 
4. sepanjang bulan Syaban (terutama 15 Syaaban) 
5. Hari Isnin atau Khamis 
6. 13,14 dan 15 harin bulan setiap bulan Islam 
7. berpuasa berselang hari iaitu sehari berpuasa sehari berbuka dan seterusnya
Sunat-Sunat Puasa
1. Menyegerakan berbuka
 عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الْفِطْرَ
Dari Sahl bin Saad bahawa Rasululah SAW telah bersabda "Seseorang itu sentiasa mendapat kebaikan selama mana mereka menyegera berbuka puasa". Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُفْطِرُ عَلَى رُطَبَاتٍ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ رُطَبَاتٌ فَعَلَى تَمَرَاتٍ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ حَسَا حَسَوَاتٍ مِنْ مَاءٍ
Rasulullah SAW apabila baginda berbuka puasa, baginda berbuka dengan beberapa biji kurma basah sebelum solat. Jika tiada kurma basah, baginda berbuka dgn kurma kering. Jika tiada kurma kering, baginda berbuka dengan beberapa teguk air. Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan Turmizi.
2.  Bersahur dan melambatkannya
عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السُّحُورِ بَرَكَةً.
Dari Anas RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda Bersahurlah kamu, kerana sahur itu mempunyai keberkatan.  Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اسْتَعِينُوا بِطَعَامِ السَّحَرِ عَلَى صِيَامِ النَّهَارِ وَبِالْقَيْلُولَةِ عَلَى قِيَامِ اللَّيْلِ
Dari Ibnu Abbas RA bahawa Nabi SAW telah bersabda ; Carilah kekuatan melalui sahur untuk puasa keesokan hari dan melalui Qailulah (tidur sekejap sblm Zohor) untuk mendirikan ibadah malam. Hadis riwayat Ibnu Majah.
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ السَّحُورُ أَكْلُهُ بَرَكَةٌ فَلَا تَدَعُوهُ وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ أَحَدُكُمْ جُرْعَةً مِنْ مَاءٍ فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِين
Dari Abu Said al-Khudri, Rasululah SAW telah bersabda "Sahur itu membawa berkat, oleh itu janganlah kamu biarkan walaupun sesiapa drp kamu bersahur dengan seteguk air. Sesungguhnya Allah dan para malaikat sentiasa berdoa untuk orang-orang yang bersahur. Hadis riwayat Ahmad.
عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ  قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَزَالُ أُمَّتِي بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الْإِفْطَارَ وَأَخَّرُوا السُّحُورَ
Dari Abu Zar, Rasulullah SAW bersabda : Umatku sentiasa dalam kebaikan selama mana mereka bersegera berbuka puasa dan melambatkan sahur. Hadis riwayat Ahmad.
3. Berdoa selepas berbuka puasa 
4. Memelihara percakapan drp perkataan dusta, lucah, keji dan tidak berfaedah.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ
Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda : Sesiapa yang tidak menghentikan percakapan dusta dan terus melakukannya, Maka Allah SWT tidak mempunyai hajat pada orang tersebut untuk dia meninggalkan makan minumnya. Hadis riwayat Bukhari, Abu Daud, Turmizi, Nasaie dan Ibnu Majah.
رُبَّ صَائِمٍ حَظُّهُ مِنْ صِيَامِهِ الْجُوعُ وَالْعَطَشُ , وَرُبَّ قَائِمٍ حَظُّهُ مِنْ قِيَامِهِ السَّهَرُ.
Ramai orang puasa, tetapi balasannya hanya lapar dan dahaga (tiada pahala) dan ramai orang berjaga malam (beribadah) balasannya hanyalah mengantuk (tiada pahala). Hadis riwayat Ahmad dan Tabarani.
وَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَصْخَبْ فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ
  Apabila seseorang drp kamu berada dalam hari puasa, maka janganlah ia memaki dan mengherdik orang lain. Andainya ia dicela oleh seseorang atau dimusuhi, hendaklah ia berkata "Saya berpuasa". Hadis riwayat Bukhari.
5. Membanyakkan membaca al-Quran dan berzikir serta beriktikaf
6. bersedeqah makanan dan harta
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا
Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa (utk berbuka puasa), akan mendapat balasan pahala yang sama seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa dikurangkan sedikitpun drpnya. Hadis riwayat Turmizi dan Ibnu Majah.
Perkara-perkara Makruh Semasa Puasa
1. Berbekam
2. Mandi terlalu kerap dan lama
3. Tidur sepanjang hari
4. Berkumur berlebihan
5. Merasakan makanan dengan lidah
6. Menggosok gigi selepas gelincir matahari (selepas waktu Zohor)
Golongan Yang dibolehkan Berbuka
a) orang sakit 
b) orang musafir yang melebihi 2 marhalah 
c) Ibu yang hamil 
d) ibu yang menyusukan anak 
e) orang yang terlalu tua 
f) orang yang sentiasa bekerja berat 
g) orang yang akan mendapat mudarat sekiranya meneruskan puasanya kerana terlalu lapar
Golongan Yang Wajib Berbuka
1. Wanita yang haid 
2. Wanita yang keluar darah nifas
Qada’, Fidyah dan Kifarah
Orang yang meninggalkan puasa diwajibkan mengqadakkan semula puasanya atau membayar fidyah atau kedua-duanya sekali. Ia juga boleh dikenakan kifarah.
Qada’ Puasa ialah mengantikan semula puasa yang ditinggalkan di hari yang lain. Sementara Fidyah Puasa ialah denda yang dikenakan kerana meninggalkan puasa. Denda yang dikenakan ialah membayar secupak makanan asasi sesebuah negara spt beras, gandum dsb bagi satu hari puasa yang ditinggalkan.
Kifarah Puasa ialah denda yang dikenakan kepada LELAKI BERPUASA yang melakukan persetubuhan di siang Ramadhan. Dendanya ialah ;
a)  Memerdekakan seorang hamba; atau
b)  Puasa selama 60 hari berturut-turut ; atau
c)  Memberi makan 60 cupak makanan asasi kepada fakir miskin 
Golongan Wajib Qada’
1. Orang yang berbuka kerana sakit, wajib qada puasanya setelah dia sembuh.  
2. Orang yang berbuka kerana musafir, wajib qada puasanya setelah dia selesai daripada musafir.
3. Orang yang berbuka kerana tersangat lapar. 
4. Orang yang perempuan berbuka kerana haid atau nifas, wajib qada puasanya setelah dia suci. 5. Orang yang berbuka kerana gila, wajib qada puasanya setelah dia sembuh. 
6. Perempuan yang mengandung atau menyusukan anak yang berbuka kerana bimbang kesihatan dirinya.
Golongan Yang Wajib Membayar Fidyah sahaja
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ رُخِّصَ لِلشَّيْخِ الْكَبِيرِ أَنْ يُفْطِرَ وَيُطْعِمَ عَنْ كُلِّ يَوْمٍ مِسْكِينًا وَلاَ قَضَاءَ عَلَيْهِ
Dari Ibnu Abbas RA, beliau berkata : Telah diberi rukhsah kepada orang yang sangat tua untuk berbuka puasa dan memberi makan setiap hari (yang ditinggalkannya) seorang miskin dan tidak wajib qadha'. Riwayat Daruqutni dan al-Hakim
1. Orang tua yang uzur 
2. Orang sakit yang tiada harapan sembuh 
3. Orang yang sentiasa bekerja berat yang akan memudahratkan dirinya jika terus berpuasa
Golongan Yang Wajib Qada’ Puasa dan Membayar Fidyah
1. Perempuan yang mengandung atau menyusukan anak yang berbuka kerana bimbang kesihatan anaknya. 
2. Perempuan yang mengandung atau menyusukan anak yang berbuka kerana bimbang kesihatan diri dan anaknya. 
3. Orang yang melewatkan qada’ puasa sehingga melewati Ramadhan yang berikutnya. 
Golongan Yang Wajib Qada' dan Kifarah
1. Lelaki yang sengaja melakukan persetubuhan di siang hari Ramadhan.


Monday, July 18, 2011

ADAKAH KITA SEDANG LALAI ?????


Firman Allah S.W.T yang bermaksud : “Telah semakin dekat kepada manusia perhitungan amal mereka, sedang mereka dalam keadaan lalai (dengan dunia), berpaling (dari akhirat).” 
[QS al-Anbiya’, 21:1]
Kiamat sudah dekat. Dunia akan hancur. Segala yang jahat akan melihat kesan dari kejahatan mereka. Setiap yang baik pula akan melihat apa ganjaran untuk mereka. Amal-amal yang mungkin dulu kita ditertawakan jika melakukannya, mula menunjukkan siapa yang berada di jalan yang benar. Amal-amal yang dahulunya dikejar dengan penuh komitmen, akan menguak menunjukkan wajah sebenar mereka di masa yang akan datang itu nanti.

Maka setiap dari kita akan diperhitungkan. Akan dinilai. Bukan lagi atas dasar kekeluargaan, paras rupa, kekayaan dan pangkat. Tetapi, berasaskan amal.


Mari kalau kita dapat ambil pengajaran dari ayat di atas.

“Telah semakin dekat kepada manusia perhitungan amal mereka, sedang mereka dalam keadaan lalai (dengan dunia), berpaling (dari akhirat).” 
[QS al-Anbiya’, 21:1]

Persoalannya. Siapakah mereka yang lalai itu?


“Setiap diturunkan kepada mereka ayat-ayat yang baru dari Tuhan, mereka mendengarkannya sambil bermain-main,” 
[QS al-Anbiya’, 21:2]


Baik. Apa yang kita baca ini sekadar teks. Tetapi, apa yang penting itu adalah kita membaca teks itu, dan mengkorelasikan dengan konteks kehidupan kita pada zaman sekarang.

Cuba tanyakan pada diri kita sendiri.

Apa pandangan kita terhadap orang yang cuba menyampaikan ayat-ayat Allah pada kita?

Atau kita lebih kepada bersikap,

“Ah budak ni. Bajet macam dia ni hebat sangat je..”

“Ilmu pun tak tahu dapat dari mana, nak berdakwah konon.”

“Macamlah dia tu malaikat nak cerita benda baik kat aku..”
+++

Bahkan, berapa ramai pula di antara kita yang kadang-kadang hanya sekadar mendengar dan tahu akan sama ada itu satu perintah atau larangan. Tetapi, berbuat seolah-olah tidak pernah mendengarkannya.

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan muslim.” 
[QS ‘Ali Imran, 3:102]

Adakah kita sudah cukup takut kepada Allah? Takut yang benar. Bukan takut olok-olok macam kita takutkan polis!


“Dan di antara manusia ada orang yang menyembah tuhan selain Allah sebagai tandingan, yang mereka cintai seperti mencintai Allah. Adapun orang-orang beriman sangat besar cintanya kepada Allah. Sekiranya orang-orang yang berbuat zalim itu melihat, ketika mereka melihat azab, bahawa kekuatan itu semuanya milik Allah dan bahawa Allah Allah sangat berat azabnya.

[QS al-Baqarah, 2:165]

Adakah cinta kita pada Allah itu sudah benar? Atau sama taraf dengan cinta monyet?

“Adapun orang-orang beriman sangat besar cintanya kepada Allah.” 
[QS al-Baqarah, 2:165]

Sangat besar cinta mereka pada Allah. Kita?

+++
“Katakanlah (Muhammad), “Tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah bertawakkallah orang-orang yang beriman.” 
[QS at-taubah, 9:51]

Tawakkal kita pada siapa? Allah? Atau pada usaha kita?

+++

Apabila kita mendapat musibah, kita lebih cenderung mengatakan,

“Bisnes aku bankrap sebab Allah dah takdirkan bankrap.. Nak buat macam mana..”

Tapi, pernah tak kita kata,

“Aku menang pertandingan ini kerana Allah yang memberi aku kemenangan.”

Atau kita lebih kerap mengatakan,

“Aku menang atas usaha aku sendiri!”

Sedangkan..

“Dan Kami pecahkan di dunia ini menjadi beberapa golongan; di antaranya ada orang-orang yang soleh dan ada yang tidak demikian. Dan Kami uji mereka dengan (nikmat) yang baik-baik dan bencana yang buruk-buruk, agar mereka kembali (kepada kebenaran)”

[QS al-A’raf, 7:168]

Ujian itu semata-mata agar kita kembali? Kembali kepada siapa?


Belum lagi bercerita tentang sabar..

Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan bersabar dan dengan solat; kerana sesungguhnya Allah menyertai (bersama) orang-orang yang sabar.” 
[QS Al-Baqarah, 2:153]

Kaabah

Kita kata kita umat yang mendengarkan ayat-ayat al-Qur’an. Ayat-ayat Allah. Tetapi, kita kadang mengambilnya seolah-olah ianya pilihan, bukan kewajipan. Main-main. Kalau kita serius, maka buktikan!

“Hati mereka dalam keadaan lalai. Dan orang-orang yang zalim itu merahsiakan pembicaraan mereka, “Orang ini (Muhammad) tidak lain hanyalah seorang manusia (juga) seperti kamu. Apakah kamu menerima (sihir itu) padahal kamu menyaksikannya?” 
[QS al-Anbiya’, 21:3]

Ayat Allah ini turun selama lebih kurang 1400 tahun dahulu. Maka, waktu yang dimaksudkan “telah dekat” itu merujuk 1400 tahun dahulu. Maka kalau pada zaman sekarang ini. Pastilah ianya sudah semakin semakin dekat.

“Telah semakin dekat kepada manusia perhitungan amal mereka, sedang mereka dalam keadaan lalai (dengan dunia), berpaling (dari akhirat). Setiap diturunkan kepada mereka ayat-ayat yang baru dari Tuhan, mereka mendengarkannya sambil bermain-main, hati mereka dalam keadaan lalai. Dan orang-orang yang zalim itu merahsiakan pembicaraan mereka, “Orang ini (Muhammad) tidak lain hanyalah seorang manusia (juga) seperti kamu. Apakah kamu menerima (sihir itu) padahal kamu menyaksikannya?”

[QS al-Anbiya’, 21:1-3]



Sunday, July 17, 2011

LAMBAIAN RAMADHAN AL-MUBARAK


Assalamualaikum Warahmatullah.
PENGENALAN
Beberapa hari sahaja lagi umat Islam akan menyambut ketibaan bulan Ramadhan al-Mubarak iaitu bulan yang padanya penuh dengan segala keberkatan, limpahan rahmat dan keampunan dari Allah Taala. Jadi tidak hairanlah apabila hampir tibanya bulan Ramadhan ini maka Rasulullah S.A.W. dan para sahabat begitu gembira sekali serta tidak sabar-sabar menanti ketibaannya pada setiap tahun. Mudah-mudahan kita juga bergembira dan terasa rindu yang amat sangat untuk menyambut kehadiran bulan yang mulia ini sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W.
Pada bulan Ramadhan ini jugalah umat Islam diperintahkan untuk berpuasa yang merupakan salah satu dari Rukun Islam yang lima. Maka perintah seperti ini sudah pastilah mempunyai kelebihan dan keistimewaannya yang tertentu untuk diberikan kepada manusia.
Firman Allah Taala bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.
(Surah al-Baqarah: ayat 183).
Berapa ramaikah daripada kalangan kita yang tidak tercapai hasratnya untuk merasai kemanisan dan kelazatan berada di bulan Ramadhan ini kerana telah dijemput menghadap Allah Taala terlebih dahulu? Berapa ramaikah yang masih mengharapkan tarbiah dan kelebihan dari Ramadhan untuk persiapan dirinya ketika mengadap Allah Taala akan tetapi ajalnya datang terlebih dahulu? Hakikatnya ialah kita dipilih oleh Allah Taala sekali lagi untuk mengecapi bulan Ramadhan ini. Oleh sebab itulah maka bersyukurlah di atas kesempatan yang telah diberikan oleh Allah Taala ini untuk melaksanakan segala perintahNya dan rebutlah peluang di bulan Ramadhan ini dengan sebaiknya. Semoga artikel ringkas yang saya sediakan ini dapat menjadi peringatan supaya kita tidak mensia-siakan peluang yang diberikan oleh Allah Taala pada Ramadhan kali ini. InsyaAllah.
ANTARA KEISTEMEWAAN DAN KELEBIHAN RAMADHAN
Pintu Syurga Dibuka Dan Pintu Neraka Ditutup.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Apabila datangnya Ramadhan maka dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dirantaikan syaitan-syaitan.
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Hanya Orang Yang Berpuasa Dapat Memasuki Pintu Syurga ar-Rayyan.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Sesungguhnya di dalam syurga ada satu pintu yang dinamakan ar-Rayyan. Orang-orang yang berpuasa sahaja memasukinya manakala orang-orang lain selain mereka tidak dibenarkan.
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Orang Berpuasa Bergembira Ketika Bertemu Allah Taala dan Berbuka.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Bagi orang yang berpuasa itu merasai dua kegembiraan iaitu apabila berbuka puasa dia gembira dengan berbuka puasanya dan apabila dia bertemu dengan Tuhannya dia gembira dengan ibadat puasanya.
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Bau Mulut Orang Yang Berpuasa Lebih Wangi Dari Kasturi.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Demi Allah yang Muhammad berada di dalam genggamannya bahawasanya bau mulut orang-orang yang berpuasa itu lebih harum baunya di sisi Allah daripada bauan kasturi.
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Diturunkan al-Quran al-Karim.
Firman Allah Taala bermaksud:
Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan (menjelaskan di antara yang benar dan yang salah).
(Surah al-Baqarah: ayat 185).
Amalan Puasa Dinisbahkan Khusus Kepada Allah Taala.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Allah Taala berfirman: Setiap amalan anak Adam adalah untuknya melainkan puasa. Ia adalah untukKu dan Akulah yang akan membalasnya.
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Malam Lailatul Qadar.
Firman Allah Taala bermaksud:
Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan (Lailatul Qadar). Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.
(Surah al-Qadr: ayat 1 hingga 5).
ANTARA PERISTIWA PADA BULAN RAMADHAN (BULAN KEMENANGAN)
Peperangan Badar al-Kubra.
Pererangan ini berlaku pada 17 Ramadhan tahun kedua Hijrah.
Pembukaan Makkah.
Berlaku pada 21 Ramadhan tahun kelapan Hijrah.
Peperangan al-Qadisiyah.
Berlaku pada tahun 14 Hijrah.
Pembukaan Andalusia.
Berlaku pada tahun 92 Hijrah.
Peperangan Hittin.
Berlaku pada tahun 583 Hijrah.
Kekalahan Tentera Tartar.
Berlaku pada 25 Ramadhan tahun 658 Hijrah.
Kekalahan Israel.
Berlaku pada 10 Ramadhan tahun 1393 Hijrah.
KEKUATAN RAMADHAN MENGHADAPI SYAITAN
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Apabila datangnya Ramadhan maka dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dirantaikan syaitan-syaitan.
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Syaitan merupakan musuh tradisi kepada anak Adam. Permusuhan ini bermula sejak dari penciptaan Nabi Adam A.S. sehinggalah ke hari qiamat. Janganlah sesekali anak Adam tunduk mengabdikan diri kepada tuntutan syaitan yang akan terus-menerus menyesatkan manusia.
Firman Allah Taala bermaksud:
Bukankah Aku telah memerintahkan kepadamu hai anak Adam supaya kamu tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu. Dan hendaklah kamu menyembahKu inilah jalan yang lurus.
(Surah Yasin: ayat 60 dan 61).
Firman Allah Taala bermaksud:
Syaitan menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan sedangjan Allah menjanjikan untukmu keampunan daripadaNya dan kurnia. Dan Allah Maha Luas lagi Maha Mengetahui.
(Surah al-Baqarah: ayat 268).
Di antara peranan syaitan ke atas anak Adam ialah:
01. Berusaha mengkufurkan orang mukmin.
02. Bersifat gopoh.
03. Mengikut hawa nafsu.
04. Hasad dengki.
05. Takabbur.
06. Menghapuskan rasa takut dan ingatan manusia kepada Allah Taala.
Firman Allah Taala bermaksud:
Syaitan telah menguasai mereka lalu menjadikan mereka lupa mengingati Allah mereka itulah golongan syaitan. Ketahuilah bahawa sesungguhnya golongan syaitan itulah golongan yang merugikan.
(Surah al-Mujaadilah: ayat 19).
Di kesempatan Ramadhan kali sama-samalah kita menjauhi segala apa yang telah dilarang oleh Allah Taala dan mentaati segala apa yang diperintahkan olehNya. Semoga segala sifat-sifat dan ajakan syaitan tidak dapat menumbusi diri kita kerana syaitan telahpun dirantai sepanjang Ramadhan. Janganlah pula hawa nasfu diri turut menguasi diri tatkala mana syaitan tiada di sisi.
BEBERAPA PERINGATAN DAN NASIHAT SEPANJANG RAMADHAN
01. Hendaklah menjaga mata daripada memandang perkara-perkara yang dicela oleh agama yang mana akan melalaikan hati serta jauh dari mengingati Allah Taala.
02. Hendaklah memelihara lidah dari berbohong, bercakap dusta, bermusuh-musuhan dan membangga-bangga diri.
03. Hendaklah menjaga telinga dari mendengar perkara-perkara yang tidak baik dan haram kerana Allah Taala menyamakan mendengar perkara yang haram itu seperti memakan yang haram.
04. Menghindarkan anggota badan yang lain dari berbuat dosa dan perkara-perkara yang dilarang.
05. Jangan makan terlalu banyak ketika berbuka sampai penuh perutnya.
06. Hendaklah hati kita itu merasa goncang antara harap dan cemas setelah selesai berbuka sebab kita tidak tahu apakah puasa kita itu diterima oleh Allah atau ditolak.
PENUTUP
Mungkin setakat ini dahulu artikel ringkas saya pada kali ini. InsyaAllah saya akan menulis artikel sambungan lagi jika mempunyai kesempatan iaitu untuk memberikan penjelasan mengenai amalan dan ibadat di dalam sepanjang bulan Ramadhan ini. Apa yang ingin diingatkan di sini janganlah kita mensia-siakan peluang yang diberikan oleh Allah Taala kepada kita pada kali ini. Sama-samalah kita bermuhasabah diri dan memperbanyakkan amalan.
Wallahualam.