Tuesday, March 29, 2011

KESEMPURNAAN SAF DALAM SOLAT



KALIMAT yang sering kita dengar dari mulut imam sebelum memulakan solat adalah “Luruskan saf (barisan dalam solat berjemaah)” atau “Rapatkan saf”. Namun berapa ramai yang benar-benar mengikuti arahan imam tersebut? Berapa ramai yang mengetahui apa maknanya meluruskan saf mengikut sunah Rasulullah s.a.w. yang sahih?
Para ulama sepakat bahawa saf pertama adalah saf terbaik dan besar keutamaannya bagi jemaah lelaki dalam bersolat.
Manakala bagi saf jemaah perempuan, saf paling utama adalah saf paling akhir sekali. Ia sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah :
Sebaik-baik saf barisan lelaki yang paling depan, dan yang terburuk ialah yang paling belakang, dan sebaik-baik barisan perempuan yang terakhir, dan yang terburuk ialah yang paling depan. (Riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan Abu Hurairah: Andaikata manusia mengetahui apa yang ada di dalam panggilan azan dan memenuhi saf paling depan, kemudian mereka tidak berjaya mendapatkannya (saf paling depan itu) kecuali jika mereka berlumba untuk mendapatkannya, pasti mereka akan berlumba. (Riwayat Bukhari).
Disebut juga di dalam hadis Rasulullah s.a.w. bahawa saf di sebelah kanan mempunyai lebih keutamaan berbanding saf di sebelah kiri. Daripada Aishah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat terhadap orang yang berada di saf sebelah kanan. (Riwayat Ibnu Majah)

Di antara fadilat solat di saf pertama:

1) Menjaga kesempurnaan saf pertama sama seperti safnya para malaikat. Riwayat Jabir bin Samurah yang berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: ”Tidakkah kamu berbaris sebagaimana saf para malaikat di sisi Tuhan-Nya?” Kami bertanya: “Ya Rasulullah, bagaimanakah saf mereka di depan Tuhan?” Jawab Nabi: “Menyempurnakan barisan pertama dan rapat benar dalam barisan.” (Riwayat Muslim)
Daripada hadis di atas dapat kita fahami bahawa mereka yang memenuhi saf paling depan ketika solat adalah sama dengan saf para malaikat yang sentiasa menjaga kesempurnaan saf mereka dan saf para malaikat ini hampir dengan Allah s.w.t. Dari sini boleh kita katakan bahawa mereka yang berada di saf paling hadapan adalah orang yang paling hampir dengan Allah dan lebih mudah memperoleh rahmat-Nya.



2) Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada mereka yang berada di saf-saf paling hadapan. Daripada Abu Umamah berkata bahawa Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Allah dan para Malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang berada di saf pertama.” Para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, bagaimana dengan saf kedua.” Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang berada di saf pertama.” Para sahabat bertanya lagi: “Ya Rasulullah, bagaimana dengan saf kedua.” Rasulullah menjawab: “Ya, juga saf kedua.” (Riwayat Ahmad).
Selawat
Menurut Dr. Fadhal Ilahi, makna selawat Allah atas mereka (yang berada di saf pertama) adalah seperti yang dikatakan oleh Imam ar-Raghib al-Asfahani, iaitu: “Tazkiyah (Penyucian daripada dosa-dosa) terhadap mereka.” Selawatnya para malaikat pula: “Iaitu berbentuk doa dan permohonan keampunan.” Alangkah beruntungnya sesiapa yang mendapat tazkiyah daripada Allah dan doa pengampunan daripada para malaikat.


3) Rasulullah memohon keampunan buat mereka di saf pertama sebanyak tiga kali. Daripada ‘Irbadh bin Sariyah bahawa Rasulullah memohon keampunan bagi mereka yang berada di saf pertama tiga kali dan untuk saf kedua hanya sekali.
(Riwayat Ibnu Majah). Alangkah bahagia sekiranya orang yang paling mulia di atas muka bumi ini memohon keampunan untuk kita.
Demikianlah beberapa keutamaan saf paling hadapan di dalam solat berjemaah. Yang amat dikesalkan terdapat ramai di antara kita yang tidak lagi memberi perhatian terhadap keutamaan-keutamaan ini. Umat Islam di Malaysia seakan-akan tidak ghairah merebut saf pertama.
Mereka lebih memilih untuk mendapatkan tempat yang membolehkan mereka bersandar dengan selesa seperti di tiang-tiang atau di dinding masjid, berdekatan dengan kipas dan pintu supaya dapat cepat keluar setelah selesai bersolat.
Ada pula yang datang awal ke masjid tetapi berborak dahulu di luar masjid sambil menghisap rokok. Alangkah ruginya mereka ini. Sesungguhnya Rasulullah menyatakan bahawa sesiapa yang secara sengaja memenuhi saf belakang, maka Allah akan membelakangkan mereka.
Daripada Abu Sa’id al-Khudri bahawa Rasulullah melihat ada sebahagian sahabatnya yang tidak mahu maju ke saf pertama, maka baginda bersabda: Majulah dan ikutilah saya, sedangkan orang-orang di belakang harus mengikutimu pula! Sesuatu kaum yang selalu suka di belakang, tentu akan dibelakangkan pula oleh Allah. (Riwayat Muslim).
Adakah kerugian yang lebih besar daripada kerugian dibelakangkan oleh Allah? Oleh itu datanglah awal ke masjid untuk solat berjemaah dan rebutlah saf pertama.

Kedudukan saf yang betul

PERANAN IMAM

Rasulullah sebelum memulakan solat, akan memastikan makmum di belakangnya meluruskan saf terlebih dahulu. Anas bin Malik berkata, ketika telah iqamah untuk solat, Rasulullah menghadap kepada kami dengan wajahnya seraya bersabda: Luruskan saf dan rapatkanlah kerana sesungguhnya aku melihat kalian dari belakangku. (Riwayat Bukhari)
Kebiasaan yang kita lihat di masjid-masjid, para imam hanya melaungkan “luruskan saf”, “luruskan saf” tanpa melihat jemaah di belakang sama ada mereka mematuhi perintahnya atau tidak.
Mereka seperti hanya melepaskan batuk di tangga. Sedangkan Rasulullah akan menghadap para makmum dan memastikan arahan meluruskan saf benar-benar dilaksanakan oleh para sahabat. Malah ada riwayat yang menyatakan Baginda pergi ke setiap barisan untuk melihat sama ada saf benar-benar telah lurus sebelum memulakan solat.
Daripada Albara’ bin ‘Aazib berkata: Adalah Rasulullah memasuki celah-celah barisan (saf) sambil mengusap dada dan bahu kami. (Riwayat Abu Daud).
Pada zaman Umar al-Khattab pula, beliau mewakilkan tugas meluruskan saf kepada seseorang. Beliau tidak akan bertakbir (memulakan solat) sehingga orang yang membantunya dalam meluruskan saf itu memberitahu bahawa saf telah benar-benar lurus. Begitu juga dengan Uthman al-Affan dan Ali bin Abu Talib, mereka berdua bersepakat melakukan apa yang telah dilakukan oleh Umar. Dulu, Ali selalu mengatakan: “Maju wahai si fulan! Mundur sedikit wahai si fulan!”
Penulis menyarankan para imam masjid-masjid di Malaysia agar memerhatikan perkara ini dengan penuh teliti supaya amalan mereka selari dengan sunah Nabi dan Khulafa’ ar-Rasyidin.

CARA MELURUSKAN SAF

Meluruskan saf dalam solat berjemaah merupakan sunah Nabi s.a.w. Malah ada ulama yang memandang penyempurnaan saf dalam solat adalah wajib. Menurut Syaikh Muhammad Nashiruddeen al-Albani: ”Mendirikan dan meluruskan saf hukumnya wajib kerana terdapat perintah yang berasal daripada Rasulullah. Kalimat perintah itu pada asalnya bererti wajib, kecuali ada qarinah (petunjuk lain) yang mengalihkan daripada pengertian wajib tersebut.
Namun, terlalu sedikit di kalangan masyarakat kita yang mengamalkannya. Pada tanggapan mereka kesempurnaan saf hanyalah dengan mempastikan barisan solat itu lurus. Sebenarnya ada beberapa perkara lain yang juga telah diperintahkan oleh Rasulullah berkaitan kesempurnaan saf:
1. Merapatkan bahu dengan bahu orang yang solat bersebelahan dengannya.
2. Merapatkan lutut dengan lutut orang yang solat bersebelahan dengannya.
3. Merapatkan buku lali dengan buku lali orang yang solat bersebelahan dengannya.
Hanya dengan mempraktikkan perkara-perkara di atas barulah tercapai kesempurnaan saf dalam solat berjemaah dalam erti kata sebenar.
Hadis-hadis berkaitan dengan perkara di atas adalah seperti berikut:
* Daripada Nu’man bin Bashir berkata: “Aku melihat seseorang merapatkan bahunya dengan bahu saudaranya, merapatkan (melekatkan) lututnya dengan lutut saudaranya dan melekatkan mata kakinya (buku lali) dengan mata kaki saudaranya.” (Riwayat Abu Daud).
* Daripada Anas bin Malik daripada Nabi s.a.w. bersabda:
(Pada waktu solat) setiap kami meratakan bahunya dengan bahu saudaranya dan telapak kakinya (buku lali) dengan telapak kaki saudaranya. (Riwayat Bukhari).
Sunah Nabi s.a.w. ini seakan-akan sudah lenyap dari masjid-masjid di Malaysia.
Penulis pernah cuba mempraktikkan sunah ini dalam solat berjemaah di beberapa masjid, namun hasilnya amat mengecewakan.
Ramai dari kalangan jemaah akan menjauhkan buku lali dan lutut masing-masing ketika penulis cuba merapatkan saf tersebut.
Mereka seolah-olah tidak selesa merapatkan dan meluruskan saf dengan cara begini.
Namun begitu kita sebenarnya tidak boleh menyalahkan mereka kerana sunah ini memang tidak disebarkan secara meluas di Malaysia, apalagi untuk dipraktikkan.
Penulis yakin sekiranya sunah ini diajar secara meluas di dalam kelas-kelas atau kitab-kitab fardu ain nescaya ia akan diamalkan di seluruh masjid di Malaysia.

Kedudukan saf yang salah

HIKMAH MERAPATKAN SAF

1. Ia merupakan antara faktor yang menyumbang kepada kesempurnaan solat. Sabda Rasulullah: Luruskan saf kamu, kerana meluruskan saf merupakan sebahagian kesempurnaan solat. (Riwayat Muslim).

2. Ia adalah faktor yang boleh menyatukan hati umat Islam. Sabda Rasulullah: Luruskan saf solat kamu dan janganlah kamu bercerai-berai (dalam mendirikan saf), akan tercera-berai hati kamu. (Riwayat Muslim). Sabda Baginda lagi: Tegakkanlah saf-saf kamu sekalian sebanyak tiga kali, demi Allah (kamu diperintah agar) merapatkan/meluruskan saf-saf kamu, atau Allah akan mencerai-beraikan hati kamu. (Riwayat Abu Daud).
Menurut Syaikh Abu Ubaidah
Masyhur:
”Dalam perintah meluruskan dan merapatkan saf merupakan unsur pendekat jiwa yang akan menjalinkan hubungan persaudaraan dan keinginan saling menolong. Bagaimana tidak! Bukankah bahu si miskin berhimpitan dengan bahu si konglomerat, kaki si kuat melekat dengan kaki si lemah. Dan semuanya berada dalam satu saf, bagaikan bangunan yang tersusun sangat rapat.

3. Ia dapat menghindari gangguan syaitan ke atas orang yang bersolat. Sabda Rasulullah:
Rapatkanlah saf kamu sekalian, dekatkanlah antara saf, tegakkanlah tengkuk kamu. Demi Zat yang jiwaku berada dalam genggaman Tangan-Nya, sesungguhnya aku melihat syaitan menyusup di celah-celah saf seperti anak kambing. (Riwayat Abu Daud).

4. Allah mencintai mereka yang menyempurnakan saf. Sabda Rasulullah:
Tidak ada suatu langkah yang sangat dicintai oleh Allah daripada langkah seseorang hamba untuk menyambung (menyempurnakan) saf (dalam solat). (Riwayat Abu Daud).

5. Ganjaran pahala yang besar bagi mereka yang menyempurnakan saf di dalam solatnya. Rasulullah bersabda:
Orang yang paling baik di antara kalian adalah seseorang yang paling lembut bahunya di dalam solat, tidak ada suatu langkah yang pahalanya lebih besar daripada langkah seseorang yang melangkah untuk menutup celah dalam saf. (Riwayat Thabrani).

6. Allah dan para malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada mereka yang menyempurnakan saf dalam solat.
Sabda Rasulullah : Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang berada di saf pertama. Para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, bagaimana dengan yang kedua.” Baginda bersabda: Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang berada di saf pertama. Para sahabat bertanya lagi: “Ya Rasulullah, bagaimana dengan yang kedua.” Rasulullah menjawab: Ya, juga bagi saf kedua. (Riwayat Ahmad).
Sayang sekali sunah-sunah berkaitan dengan saf ini telah dilalaikan dan diambil mudah oleh masyarakat Islam bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia.
Apa yang ingin penulis sarankan di sini adalah agar sunah meluruskan dan merapatkan saf ini dihidupkan semula, terutamanya oleh para imam di masjid-masjid seluruh Malaysia.
Para imam hendaklah bersungguh-sungguh mengerjakan sunah ini dan mengajak mereka yang bersolat di belakang melaksanakannya.
Sabda Rasulullah s.a.w mengingatkan: Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat. (Riwayat Bukhari).

Wallahua’lam 

Monday, March 28, 2011

10 SURAH MUJARAB

1. SURAH AL-FATIHAH


Amalkan membaca Surah Al-Fatihah semasa hendak tidur diikuti dengan membaca Surah Al-Ikhlas 3 kali, Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas. Insya'Allah akan aman tenteram dan terjauh daripada gangguan syaitan. Dianjurkan juga membaca surah ini sebanyak 44 kali untuk mengubati sakit mata, perut, gigi dan lain-lainnya dengan izin Allah s.w.t. Untuk mencegah kemarahan Allah, bacalah surah ini sebanyak 17 kali sehari iaitu dengan mengerjakan solat 5 waktu.

2. SURAH YAASIN

Telah bersabda Rasulullah s.a.w., sesungguhnya bagi setiap sesuatu itu ada hati, dan hati Al-Qur'an ialah Surah Yaasin iaitu jantung Al-Qur'an. Sesiapa yang membaca Surah Yaasin, nescaya dituliskan oleh Allah pahala menyamai sepuluh kali membaca Al-Qur'an seluruhnya. (Hadis riwayat At-Tarmizi dari Anas r.a.) Rasulullah s.a.w. juga bersabda : Surah Yaasin dinamakan di dalam kitab Taurat dengan sebutan "At-Mu'ammah" (yang umum), yang mengumumkan pembacanya dengan kebaikan dunia dan akhirat, menanggung segala bala baik dari kesusahan di dunia mahu pun akhirat. Pembaca juga akan dilindungi dari setiap keburukan dan kejahatan serta segala hajat dan kemahuan akan Allah kabulkan. Jika dibaca dalam satu malam semata-mata mengharapkan keredaan Allah, nescaya Allah akan mengampunkan dosanya. (Hadis riwayat Malik, Ibnu-Sunni dan Ibnu Hibban). Surah Yaasin ni juga jika diamalkan, akan terselamatlah kita dari kehausan di hari KIAMAT.

3. SURAH AD-DHUKHAN

Dibaca sekali pada malam Jumaat agar kita terselamat dari huru hara di Padang Mahsyar.

4. SURAH AL-WAQI'AH

Menurut beberapa hadis Rasulullah s.a.w., mereka yang mengamalkan membaca Surah Al-Waqi'ah pada tiap-tiap malam, insya'Allah tidak akan merasai kepapaan. Mereka yang membacanya sebagai wirid, insya'Allah akan beroleh kesenangan selama-lamanya. Mereka yang membacanya sebanyak 14 kali setiap lepas solat Asar, insya'Allah akan dikurniakan dengan rezeki yang banyak. Selepas solat Isyak, ambillah segelas air lalu bacalah Surah Al-Fatihah sekali, Ayatul Qursi sekali dan Surah Al-Waqi'ah ayat 35-38 sebanyak 7 kali. Tiup dalam air dan minum. Dalam hati, niat untuk menjaga kecantikan diri dan kebahagiaan rumahtangga kita. Makna Surah Al-Waqi'ah Ayat 35-38 ialah : "Sesungguhnya, Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa. Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh), yang tetap mencintai jodohnya serta yang sebaya dengan umurnya.

5. SURAH AL-KAUTHAR

Sesiapa yang mengamalkan membaca surah ini sebanyak 1,000 kali, maka Allah s.w.t. akan menghasilkan hajatnya termasuk rezeki dan kenaikan pangkat. Sesiapa yang membaca 1,000 kali juga selepas solat Isyak hingga dia tertidur, insya'Allah dia dapat melihat Rasulullah s.a.w. dalam tidurnya.

6. SURAH AL-KAAFIRUUN

Sesiapa yang membaca Surah Al-Khaafiruun, maka bandingannya seperti membaca seperempat Al-Qur'an, disamping terlepas dari syirik, terjauh dari godaan syaitan dan terlepas dari peristiwa yang mengejutkan (Riwayat At-Tarmizi). Sebelum tidur, bacalah surah ini agar kita mati dalam iman serta membersihkan kotoran dalam diri kita.

7. SURAH AL-MULK

Sebuah lagi Surah dari Al-Qur'an iaitu Surah Al-Mulk mempunyai fadilat dan faedah yang amat besar bagi sesiapa yang mengamalkan membacanya. Menurut beberapa hadis Rasulullah s.a.w., mereka yang mengamalkan membaca akan surah ini, akan mendapat syafaat dan keampunan dosa-dosanya. Mereka yang membacanya pada setiap malam, insya'Allah, akan terselamat dari azab kubur..

8. SURAH AL-IKHLAS

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepada isteri kesayangan baginda, Siti Aisyah, antara mafhumnya : "Wahai Aisyah isteri ku, sebelum kamu tidur, khatamlah dulu Al-Qur'an." Siti Aisyah lalu berkata, "Wahai suami ku, saya tidak mampu khatam Al-Qur'an sebanyak 30 juzuk itu." Apabila mendengar kata-kata Siti Aisyah tersebut, Rasulullah s.a.w. sambil tersenyum lalu menjawab, "Barangsiapa yang membaca 3 kali sebelum tidur, seolah-olah ia telah khatam Al-Qur'an keseluruhannya. " Dari Rasulullah s.a.w.. pernah bersabda kepada Saidina Ali r.a., "Sesiapa hendak pergi musafir, kemudian ketika dia hendak meninggalkan rumahnya, ia membaca surah Al-Ikhlas 11 kali, maka Allah memelihara rumahnya sampai ia kembali. Ibnu Said Al-Khanafi menerangkan : "Surah ini dinamakan Surah Al-Ikhlas, ertinya bersih atau lepas. Maka barang siapa yang membacanya dan mengamalkannya dengan hati yang ikhlas, maka ia akan dilepaskan kesusahan duniawi, dimudahkan di dalam gelombang sakratulmaut, dihindarkan dari kegelapan kubur dan kengerian hari
kiamat."

9. SURAH AL-FALAQ

Siti Aisyah menerangkan : "Bahawa Rasulullah s.a.w. pada setiap malam apabila hendak tidur, Baginda membaca Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas lalu ditiupkan pada kedua telapak tangan, kemudian disapukan keseluruh tubuh dan kepala. Barang siapa terkena penyakit kerana perbuatan syaitan atau manusia, hendaklah membaca Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas sebanyak 41 kali selama 3 hari, 5 hari atau 7 hari berturut-turut. Barang siapa yang takut akan godaan syaitan dan manusia, takut dalam kegelapan malam atau takut dengan kejahatan manusia, bacalah Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas sebanyak 100 kali.

10. SURAH AN-NAS

Surah An-Nas adalah surah yang terakhir (ke-114) dalam Al-Qur'an. Nama An-Nas diambil dari kata An-Nas yang berulang kali disebut dalam surah ini yang
bermaksud manusia. Surah ini termasuk dalam golongan surah makkiyah. Isi surah ini adalah bagi menganjurkan manusia memohon perlindungan kepada Allah dari godaan syaitan baik yang berasal dari golongan manusia mahu pun jin. Surah An-Nas ini juga adalah penerang hati


Saturday, March 12, 2011

SAKIT KEPALA DAN TULANG BELAKANG


Jenis-jenis Sakit Kepala dan Ciri-cirinya:


Sakit kepala disebabkan ketegangan.
•  Sakit Jenis ini biasanya dirasai dibelakang kepala dan leher dan biasanya Tidak terhad pada sebelah bahagian sahaja.
•  Sakit mungkin berlarutan selama beberapa hari sehingga beberapa minggu dengan masa lega yang singkat di antara serangan. Walau bagaimanapun tahap keterukkannya mungkin berubah-ubah.
•  Menyerang pada bila-bila masa.
•  Kesakitannya selalu digambarkan seperti satu ikatan kuat yang menekan, tetapi jarang sekali berdenyut-denyut dan tidak pernah disertai dengan demam.


Sakit Kepala Migrain
•  Berlaku apabila saluran darah di kepala menutup terlalu ketat atau membuka terlalu luas.
•  Sakit dirasai disebelah bahagian sahajapada satusatu masa, tetapi mungkin merebak ke seluruh kepala.
•  Sakitnya berdenyut-denyut dan selalunya berlaku secara perlahan-lahan dan menjadi lebih teruk selepas satu jam atau lebih. Berlarutan sekurang-kurangnya 2-4 jan atau lebih lama.
•  Sakit mungkin menyerang sekali dalam masa beberapa hari atau beberapa minggu atau langsung tiada untuk beberapa bulan, Migrain biasanya berlarutan selaman beberapa jam tetapi jarang melebihi satu atau
dua hari.
•  Sakit mungkin menjadi lebih teruk dengan tekanan, pengambilan alcohol, atau sesetengah jenis makanan seperti coklat dan serinngkali disertai rasa loya dan muntah-muntah. Tidur dapat melegakan sakit kepala
jenis ini. Sakit ini juga berlaku semasa haid.
•  Mempunyai sejarah keluarga yang mengidap migraine

Sakit Kepala Bertumpu
•  Sakit kepala jenis ini biasanya berlaku di kalangan lelaki pertengahan umur, manakala migraine tipikal
lebih biasa berlaku di kalangan wanita.
•  Sakitnya hanya mepiluti sebelah bahagian kepala sahaja. Sakit biasanya terjadi di belakang mata dan biasanya berlaku pada mata yang sama.
•  Sakit yang menyerang secara tiba-tiba tanpa sebarang amaran.
•  Sakit yang memuncak dalam tempoh 5 hingga 10 minit dan mungkin berlarutan sehingga beberapa jam.
•  Sakir yang menyebabkan seseorang terbangun dariapda tidur dan berlaku beberapa kali sehari untuk beberapa minggu dan kemudian berhenti. Menyerang hampir pada waktu yang sama setiap hari, untuk beberapa minggu atau bulan.
•  Sakit yang mungkin berkaitan dengan sebelah bahagian rongga hidung tersumbat dan mata yang berair.

Keradangan Sinus
•  Sakit yang biasanya bermula semasa atau selepas demam selsema yang teruk, terutamanya jika berlaku titis postnasal (pangliran lender berlebihan dari kawasan hidung ke dalam fariks)
•  Sakit yang tertumpu pada satu kawasan tertentu pada muka atau kepala, dan menyerang dalam masa yang singkat.
•  Sakit yang teruk pada waktu pagi sebelum mukus (lendir) berpeluang untuk mengalir keluar.
•  Sakit yang menjadi teruk apabila batuk, bersin atau menggerakkan kepala dengan tiba-tiba.
•  Sakit yang menjadi lebih teruk dengan pengambilan aokohol, perubahan suhu yang mendadak, semasa musim sejuk dan keluar dari bilik yang sejuk ke kawasan luar yang panas.
•  Mempunyai sejarah demam hayí (rhinitis alergik) dan alahan.

Arteritis Temporal
•  Sakit yang biasanya berlaku di kalangan warga tua yang berumur lebih daripada 50 tahun
•  Sakit yang berkaitan dengan bahagaian kepala dan pelipis yang sensitive (mudah terasa sakit bila
disentuh) dan sakit rahang.
•  Penglihatan terganggu
•  Sakit-sakit pada seluruh badan.
•  Kemungkinan berkaitan dengan demam ringan yang berlaku sekejap-sekejap.
•  Dikaitkan dengan penurunan berat badan pada sesetengah orang
•  Sakit kepala jenis ini dianggap sebagai kes kecemasa perubatan - pesakit perlu dirawat di hospital dengan
segera.


Segala kerja yang anda buat boleh memberi kesan kepada belakang anda samada duduk, berdiri, membongkok, mencapai/ terdongak kepala untuk mengambil sesuatu, berjalan, berlari, menarik, memegang, menahan, menolak, menurun atau mengangkat barang. Hatta semasa sedang beristirihat atau tidur pun belakang anda sedang berperanan. Sakit belakang adalah masalah otot dan tulang.

Apa yang menyebabkan sakit belakang (Faktur risiko)

1. Postur yang tidak betul
Berdiri, duduk atau bergerak seperti orang malas, kedudukan sebelah pinggang lebeh tinggi daripada yang sebelah lagi. Tabiat seperti ini akan menyebabkan otot tegang, kaku, sakit belakang, sakit leher dan kelesuan.
2. Kurang senaman
Otot yang menyokong tulang belakang perlu senaman untuk regangan dan mengekalkan otot itu supaya kuat.
3. Kegemokan
Perut buncit akan menarik otot belakang dan menegangkan otot abdomen. Mengurangkan berat badan boleh meringankan beban kepada belakang dan baik untuk jantung.
4. Stres
Kerunsingan boleh mengakibatkan otot belakang menegang dan hilang keseimbangan badan  dan boleh cedera belakang.
5. Tersalah urat belakang
Anda boleh menegangkan atau mengoyak bahagian belakang dengan hanya membongkok, mencapai/ mendongak untuk mengambil sesuatu dan mengangkat barang dengan cara yang salah.
6. Piring ruas tulang belakang tergelincir
Kadangkala piring/ cakera ruas tulang belakang tergelincir atau tergencat daripada kedudukan asalnya dan akan menekan saraf dibelakang. Ini menyebabkan kesakitan, lemah dan kebas-kebas di kaki. Anda perlu mendapatkan rawatan Doktor.

Jika sakit belakang sering menganggu dan anda tidak tahu apa hendak dibuat. Ini adalah panduannya.

 Cara yang betul untuk berdiri, duduk, memusing badan, berjalan, tidur dan mengangkat barang.

Semasa berdiri :
Rihatkan sebelah kaki di atas papan lapek rendah untuk menyokong belakang sebelah bawah.

Kebiasaannya kerja hendaklah di buat pada paras ketinggian siku samada sewaktu anda duduk atau berdiri. Walau bagaimana pun kerja yang berat hendaklah dibuat pada paras lebih rendah daripada ketinggian siku.

Semasa memusing badan :
Berpusing dengan mengerakkan kaki, bukan memusing badan.  Badan yang berpusing boleh menyebabkan kecederaan belakang.

Semasa duduk :
Gunakan kerusi yang boleh menyokong belakang. Tapak kaki di rapatkan ke lantai dan badab bersandar di kerusi.

Semasa berjalan
Kepala tegak kedepan dan angkat dada sedikit.

Sewaktu tidur.
Tidur diatas belakang dengan menyelit bantal kecil di celah lutut, tidur mengiring dengan kaki membengkok atau tidur seperti kedudukan janin dalam perut ibu.

Semasa mengangkat barang.
Mengangkat barang hendaklah dengan menggunakan otot kaki, bukannya otot belakang. Berat barang yang selamat untuk diangkat hendaklah lebeh kurang 3  kg ( anggaran purata berat bayi baru lahir)

Anda boleh merujuk maklumat cara mengangkat barang dengan cara yang betul di artikel yang lain.

Mencapai untuk mengambil sesuatu barang
Satu cara yang baik untuk memikirkan berkenaan kawasan yang boleh di capai dengan tangan ialah ruang hayunan lengan semasa digerakkan. Mencapai sesuatu benda di dalam kawasan ini adalah selamat.

Penutup

Kita mesti ingat, untuk mendapat belakang yang sihat, kita hendaklah mengekalkan otot belakang dan abdomen supaya kuat. Dengan itu ia boleh menyokong dan meletakkan tulang ruas vertebra leher, tulang ruas vertebra toreks  dan tulang ruas vertebra pinggang pada tempatnya serta seimbang kedudukannya. Di dalam apa jua aktiviti atau kerja yang dijalankan pastikan postur badan yang betul, sendi tulang hendaklah dalam kedudukan semulajadi, dilarang membongkok kehadapan dan berwaspada dengan berat badan.

Berhati-hati kerana kelalaian boleh mengakibatkan sakit belakang.


Saturday, March 5, 2011

PENYAKIT GOUT DAN KENCING MANIS

GOUT

Penyakit gout merupakan penyakit yang selalunya dihidapi oleh kebanyakan oleh lelaki. Macamanapun, perempuan yang sudah melalui putus haid ataupun menopause juga mempunyai risiko untuk mendapat penyakit gout ini walaupun risiko tersebut tidaklah sebesar kaum lelaki.
Antara tanda yang menunjukkan penyakit gout berkemungkinan menyerang adalah seseorang itu mungkin terasa sakit di sendi terutamanya pada sendi ibu jari kaki,lutut dan pergelangan kaki. Sendi itu akan sakit apabila disentuh dan mungkin diikuti demam menggigil akibat daripada kesakitan yang teruk.
Penyakit Gout biasanya berlaku akibat daripada dua faktor iaitu asid urik berlebihan dalam badan dan kedua asid urik yang tidak dibuang secara berkesan dalam badan.Asid urik yang berlebihan akan menyebabkan ia membentuk jarum-jarum kristal pada sendi sendi dan sakit serta ia mungkin juga akan terbentuk pada tempat lain. Akhirnya juga mungkin boleh menyebabkan batu karang dalam buah pinggang.
Ketidakseimbangan pada asid urik juga boleh disebabkan oleh faktor keturunan, makan makanan kaya dengan purin,obesiti,pengambilan alkohol berlebihan,masalah pada buah pinggang serta penggunaan ubat ubatan seperti diuretik dan aspirin.
Tanda-tanda penyakit gout menyerang
-Sakit sendi yang datang secara tiba-tiba terutamanya pada bahagian ibu jari kaki, lutut dan pergelangan kaki
-Sendi membengkak,kaku serta menjadi panas dan merah secara serta merta bila disentuh dan menyebabkan pesakit menjadi demam
-Benjolan akan timbul dekat sendi serta cuping telinga yang disebabkan oleh timbunan asid urid yang mungkin kelihatan seperti kapur
Serangan penyakit gout ini juga boleh berlaku dalam keadaan tiba- tiba dan tanpa mempunyai sebab yang ketara. Tetapi dalam keadaan tertentu juga, serangan penyakit gout juga boleh berlaku iaitu kekurangan air dalam tubuh bila makan secara berlebihan, minum air beralkohol,kecederaan pada sendi dan juga selepas pembedahan.
Serangan tiba-tiba menjadi lebih ketara bila tengah malam iaitu pesakit merasa sejuk seperti disiram air sejuk di tempat sakit dan ini akan menyebabkan mereka mengigil dan demam dan ini mungkin akan berlaku seminggu dua minggu dan kemudiannya akan berhenti secara sendirinya rasa sakit. Tetapi ini bukan bermakna sembuh tetapi jika penyakit gout tidak diubati sakit ini mungkin akan kembali menyerang dan perlu untuk diketahui juga, serangan kerapa kali pada bahagian sendi akan merosakkan sendi serta fungsinya.
Penyakit Gout ini sering berlaku pada lelaki berusia 30 tahun ke atas. Perempuan juga boleh mengalami masalah ini terutamanya selepas mengalami putus haid. Faktor keturunan juga memainkan peranan dalam risiko mendapat penyakit ini.
Rawatan gout melalui hospital atau melalui kaedah lain mungkin boleh menolong pesakit gout untuk keluar dari kengkangan penyakit ini

KENCING MANIS

Apa Dia Penyakit Kencing Manis



Penyakit ini telah lama diketahui manusia. Beribu-ribu penduduk di negara kita mengidap penyakit ini. Penyakit kencing manis tidak seharusnya menjadi satu penghalang kepada kehidupan yang biasa. Dengan bertambahnya pengetahuan berkenaan penyakit kencing manis dan penghasilan ubat-ubat untuk penyakit ini, tidak ada sebab mengapa anda tidak boleh hidup seperti manusia biasa
Penyakit kencing manis adalah satu keadaan di mana terdapat kadar gula yang berlebihan dalam peredaran darah. Ini terjadi kerana badan kekurangan sesuatu hormon yang dipanggil insulin yang diperlukan untuk menukar gula kepada tenaga dalam badan kita. Insulin adalah sejenis hormon yang dihasilkan oleh organ bernama pancreas yang terletak dibawah perut. Badan kita mengeluarkan tenaga untuk menjalankan tugasharian daripada makanan. Dalam perut, makanan berkanji dan bergula yang dipanggil makanan karbohidrat ditukar kepada bahan gula yang dipanggil glukos dan masuk ke dalam saluran darah di mana ia akan digunakan oleh badan untuk menghasilkan tenaga. Glukos adalah punca utama yang memberi tenaga.
Dalam keadaan biasa, insulin membantu gula (glukos) dalam darah untuk memasuki sel-sel badan untuk ditukarkan kepada tenaga. Bagi orang yang mengidap penyakit kencing manis, organ pancreas tidak dapat menghasilkan hormon insulin dengan secukupnya atau insulin yang dikeluarkan tidak dapat bertindak seperti biasa. Akibatnya, glukos atau gula tidak dapat memasuki sel-sel badan. Kadar gula dalam peredaran darah menjadi tinggi. Gula yang berlebihan ini akan disingkirkan oleh badan melalui air kencing. Inilah sebabnya, penyakit ini dikenali sebagai penyakit kencing manis. Tanpa insulin, sel-sel badan tidak menerima bekalan glukos, walaupun kadarnya amat tinggi dalam peredaran darah. Ini menyebabkan badan akan kekurangan tenaga.

Siapakah pengidap penyakit kencing manis ?

Sesiapa pun boleh mendapat penyakit ini.Tetapi mereka yang datang daripada keluarga atau keturunan di mana terdapat ahli-ahli yang mengidap penyakit kencing manis sudah meningkat umur (40 tahun ke atas) mempunyai berat badan berlebihan atau gemuk mempunyai risiko yang lebih untuk mendapat kencing manis

Apakah rawatan untuk penyakit kencing manis ? 

Sebelum tahun 1921, tiada ubat-ubat tertentu untuk merawat penyakit ini. Pada masa ini terdapat ubat-ubat untuk mengawal penyakit kencing manis dan ini memberi peluang kepada pengidap-pengidap penyakit ini untuk meneruskan kehidupan yang biasa. Rawatan untuk penyakit kencing manis adalah melalui kawalan pemakanan.
Makanan yang anda makan memainkan peranan yang penting dalam kawalan penyakit kencing manis. Adakalanya, kes-kes yang tidak teruk, dapat diakwal melalui jagaan makanan sahaja.