Wednesday, February 23, 2011

YA ALLAH !!!!!!!!!!! AMPUNILAH DIRIKU...........

Entah mengapa malam-malam begini aku tergerak untuk menulis sesuatu. Sesuatu yang teramat membebankan hati sanubariku. Seperti biasa sebelum selimut ditarik menyelubungi tubuhku aku akan berfikir sejenak dan muhasabah diriku tentang apa yang telah kulakukan hari demi hari. Terlalu banyak rasanya dosa yang telah kulakukan. Setiap hari telah banyak maksiat mata, telinga dan juga mulut yang telah kulakukan. Entah berapa banyaklah dosa yang telah kulakukan selama hampir 42 tahun aku menumpang dibumi ALLAH ini. mungkin sudah bergunung-ganang jika dihimpunkan. Setahun ada 365 hari, aku sudah hidup hampir 42 tahun dan jika didarabkan bilangan hari, 365 x 42.... itupun kalau aku lakukan 1 dosa sehari tapi MUSTAHIL bagi aku kerana aku adalah insan yang dhaif yang acap kali melakukan kekhilafan. Ya ALLAH!!!!! Ampuni daku ya ALLAH!!! aku malu terhadap mu ya ALLAH.....

Aku sedar masih banyak lagi perkara yang perlu kuperbetulkan. Aku akan terus berdoa padamu ya ALLAH. Taubatku perlu disegerakan kerana Sahl bin Abdullah berkata: Barangsiapa yang berkata bahawa taubat adalah tidak wajib maka ia telah kafir, dan barangsiapa yang menyetujui perkataan seperti itu maka ia juga kafir. Dan ia berkata: "Tidak ada yang lebih wajib bagi makhluk dari melakukan taubat, dan tidak ada hukuman yang lebih berat atas manusia selain ketidak tahuannya akan ilmu taubat, dan tidak menguasai ilmu taubat itu (Di sebutkan oleh Abu Thalib Al Makki dalam kitabnya Qutul Qulub, juz 1 hal. 179).

Aku ada menyimpan satu doa mustajab yang aku dapati dari ceramah Ustazah Siti Nor Bahyah. Doa ini adalah doa yang telah dipohon oleh Nabi Adam A.S. setelah dia dicampakkan ke atas muka bumi ini akibat melanggar larangan ALLAH kepadanya. Setelah beliau berdoa, ALLAH telah berfirman :

Wahai Adam,

Engkau telah berdoa kepadaku dengan doa yang aku kabulkan, jika salah seorang dari zuriatmu berdoa dengan doa tersebut nescaya aku akan hilangkan kedukaan dan kekeruhannya, aku akan melindunginya,aku akan menguntungkannya satu perniagaan selepas satu perniagaan,
dan aku akan memberikannya dunia walaupun dia tidak menghendakinya.....


Aku bersyukur kerana ini adalah satu berita baik buat semua umat Islam di muka bumi ini. Tetapi kita juga harus ingat bahawa kita perlu sedaya upaya mengelakkan diri daripada terjebak dalam kancah kemaksiatan dan melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh ALLAH S.W.T. Segala kewajipan kita sebagai seorang Muslim wajib dilaksanakan tanpa sebarang bantahan. Maha suci ALLAH di atas segala perkara yang telah diaturkan-NYA. Marilah kita sama-sama bertaubat sementara nyawa masih dikandung badan. Walau sehina manapun kita ALLAH pasti mengampuni kita jika kita benar-benar menyesali perbuatan kita dan bertekad untuk tidak mengulanginya lagi. ALLAH SWT telah berfirman didalam Al-Quran:

"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri." (QS. Al Baqarah: 222).

 Dan dalam penjelasan tentang keluasan ampunan ALLAH SWT dan rahmat-Nya bagi orang-orang yang bertaubat. ALLAH SWT berfirman:

"Katakanlah: "Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat ALLAH. Sesungguhnya ALLAH mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (QS. Az-Zumar: 53)

Ayat ini membukakan pintu dengan seluas-luasnya bagi seluruh orang yang berdosa dan melakuKan kesalahan. Meskipun dosa mereka telah mencapai hujung langit sekalipun. Seperti sabda Rasulullah S.A.W:

"Jika kalian melakukan kesalahan-kesalahan (dosa) hingga kesalahan kalian itu sampai ke langit, kemudian kalian bertaubat, niscaya Allah SWT akan memberikan taubat kepada kalian." (Hadist diriwayatkan oleh Ibnu Majah dari Abi Hurairah, dan ia menghukumkannya sebagai hadits hasan dalam kitab sahih Jami' Shagir - 5235)
Allah berfirman dalam Hadits Qudsi : “Wahai anak Adam selama engkau masih berdoa kepada-Ku dan berharap kepada-Ku, Aku ampuni engkau apa pun yang datang darimu dan aku tidak peduli. Wahai anak Adam walaupun dosa-dosamu mencapai batas langit kemudian engkau meminta ampun kepada-Ku, Aku akan ampuni engkau dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, jika engkau mendatangi-Ku dengan sepenuh bumi dosa dan engkau tidak menyekutukan-Ku, maka Aku akan menemuimu dengan sepenuh itu pula ampunan.” (HR. Tirmidzi dan di Hasankan oleh beliau).

Sesungguhnya ALLAH itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Ku pujuk diriku, la tahzan!!! Jangan pernah putus harapan dengan rahmat ALLAH. Tiada siapapun yang dikecualikan dari pengampunan Allah selama mana dia tidak pernah mensyirikkan ALLAH S.W.T. ALLAH itu Maha Adil. Ya ALLAH teguhkanlah keimananku terhadapmu agar ia dapat menjadi perisaiku dari terjebak kelembah kehinaan. Terlalu banyak dosa yang telah kulakukan kepadamu ya ALLAH. Ampunilah daku, ampunilah daku ya ALLAH.....

Tuesday, February 15, 2011

Sejarah dan hukum sambut Maulidurrasul s.a.w


MAULID berasal dari perkataan Arab yang bermakna melahirkan terutamanya merujuk kepada kelahiran bayi.
Namun dalam konteks hari ini ia dirujuk khusus kepada hari keputeraan Nabi Muhammad iaitu pada 12 Rabiulawal setiap tahun.
Sejarah ringkas
Sambutan Maulidur Rasul telah diasaskan oleh kerajaan Fatimiah di Mesir yang meraikannya secara besar-besaran.
Mereka bukan sahaja meraikan hari keputeraan Rasulullah, tetapi juga yang membabitkan ahli keluarga baginda Zainab, Hassan, Hussain.
Walau bagaimanapun, semua perayaan ini telah dihentikan pada tahun 488 H atas perintah Perdana Menteri, al-Afdal Shahindah yang berpegang kuat pada sunnah seperti tercatit di dalam buku Al-Kamel, karangan Ibnu Al-Atheer.



Advertise Here
Ia berhenti diraikan sehingga Al-Ma’moon Al-Bataa’ni memegang kuasa kerajaan.
Apabila kerajaan al-Ayubbiyyah merampas kuasa, semua perayaan itu sekali lagi dihentikan.
Namun begitu, masyarakat tetap merayakannya di kalangan keluarga mereka secara tertutup.
Pada Abad ke-7, Putera Muzafar Al-Deen Abi Sa’d Kawakbri Ibn Zein Ed-Deen ‘Ali- Ibn Tabakatikin telah mewartakan perayaan Maulid Nabi di Bandar Irbil.
Muzafar yang merupakan seorang sunni mengambil berat akan perayaan Maulidur Rasul hingga memerintahkan persediaan seperti mendirikan khemah, menghias khemah dan pelbagai lagi dilaksanakan seawal dan sebaik mungkin.
Setiap kali selepas solat Asar, Muzafar akan menyaksikan perayaan itu dalam khemah yang telah didirikan.
Hujah membolehkan Maulidur Rasul
Antara ulama yang menyokong Maulidur Rasul terutamanya Imam Jalaluddin Sayuti dan Sheikh Dr. Yusuf Al Qaradawi.
Imam Jalaluddin Sayuti:
“Ibadat macam itu adalah bidaah hasanah (bidaah baik) yang diberi pahala mengerjakannya kerana dalam amal ibadat itu terdapat suasana membesarkan Nabi, melahirkan kesukaan dan kegembiraan atas lahirnya Nabi Muhammad SAW yang mulia”.
Sheikh Dr. Yusuf al Qaradawi: “Semua telah sedia maklum bahawa sahabat-sahabat Rasulullah tidak merayakan hari kelahiran Rasulullah.
“Ini kerana mereka telah menyaksikan secara langsung setiap gerak-geri Rasulullah dan seterusnya ingatan terhadap Rasulullah itu kekal di dalam hati dan juga ingatan.
“Sa’d bin Abi Waqas mengatakan bahawa beliau begitu ghairah untuk menceritakan mengenai Rasulullah kepada kanak-kanak sama seperti mana keghairahan mereka mendidik anak-anak itu mengenai al-Quran.
“Oleh kerana mereka sering menceritakan sejarah perjuangan Rasulullah, maka tidak perlulah merayakan seperti mana dirayakan Maulid Rasul kini.
“Bagaimanapun, generasi terkemudian telah mula melupakan kegemilangan sejarah Islam dan kesannya.
“Dengan itu, perayaan Maulid Rasul diadakan bertujuan mengingati sejarah Islam ketika Rasulullah masih hidup. Sebenarnya, meraikan hari kelahiran nabi bermakna meraikan hari kelahiran Islam.
“Maka dibolehkan meraikan Maulid nabi ini dengan syarat tidak dicampur-adukkan dengan perkara-perkara bidaah. Tetapi sebaliknya diisi dengan ceramah yang menceritakan akan sejarah Islam”.
Antara dalil bagi yang membolehkan Maulid ini:
1) Allah berfirman yang bermaksud: Maka orang yang beriman kepadanya (Muhammad saw) memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (al-Quran) mereka itulah yang beruntung. (al-A’raf: 157)
Keterangan: Tujuan maulud adalah untuk memuliakan Nabi Muhammad. Maka perayaan maulud masuk dalam umum ayat tersebut.
2) Firman Allah yang bermaksud: Dan ingatkanlah mereka dengan hari-hari Allah. (Ibrahim: 5)
Keterangan: Al-Baihaqi di dalam Syakbu al-Iman daripada Ubai bin Kaab daripada Nabi SAW, sesungguhnya baginda menafsirkan ‘hari-hari Allah’ adalah hari-hari nikmat dan kurniaan Allah. Al-Alusi dalam Ruh al-Ma’ani menjelaskan lagi dengan katanya “kelahiran Nabi merupakan nikmat yang paling besar”.
3) Bahawasanya Nabi Muhammad datang ke Madinah maka beliau mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura iaitu hari 10 Muharam, maka Nabi bertanya kepada orang yahudi itu: “Kenapa kamu berpuasa pada hari Asyura?” Jawab mereka: “Ini adalah hari peringatan, pada hari itu dikaramkan Firaun dan pada hari itu Musa dibebaskan, kami berpuasa kerana bersyukur kepada Tuhan”.
Maka Nabi berkata: “Kami lebih patut menghormati Musa berbanding kamu”. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Ibnu Hajar Al-Asqalani pengarang Syarah Bukhari yang bernama Fathul Bari berkata, bahawa dari hadis itu dapat dipetik hukum: Umat Islam dibolehkan bahkan dianjur memperingati hari-hari bersejarah, hari-hari yang dianggap besar umpamanya hari-hari Maulud, Israk dan Mikraj dan lain-lain.
- Nabi pun memperingati hari karamnya Firaun dan bebasnya Musa dengan melakukan puasa asyura sebagai bersyukur atas hapusnya yang batil dan tegaknya yang hak.